Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai menyeru orang ramai, Jibril a.s telah mengiringi beliau lalu menunjukkan kepadanya bukit Safa dan Marwah. Jibril a.s juga membawa beliau ke sempadan Tanah Haram, lalu mengarahkannya supaya mendirikan batu di sempadan tersebut, Nabi Ibrahim a.s terus melakukan arahan tersebut.
Beliau merupakan orang pertama yang mendirikan sempadan Tanah Haram dengan ditunjukkan oleh Jibril a.s. Pada hari yang ke 7 Zulhijah Nabi Ibrahim a.s telah berkhutbah sambil berdiri ketika tergelincir matahari manakala Nabi Ismail duduk mendengarnya. Pada keesokan harinya, kedua-duanya keluar secara berjalan kaki sambil bertalbiah dan berpakaian ihram. Masing-masing membawa bekalan makanan dan bertongkat, oleh itu hari tersebut dinamakan hari Tarwiah. Apabila kedua-duanya tiba di Mina, mereka berdua mendirikan sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kedua-duanya berhenti rehat di bahagian sebelah kanan dan tinggal di situ sehingga keluar matahari di atas bukit Thabir. Selepas itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s bertolak secara berjalan kaki sehinggalah tiba di Arafah, ketika itu Jibril a.s ada bersama mereka. Jibril a.s menunjukkan kepada mereka bukit-bukit di sepanjang perjalanan sehinggalah mereka berhenti rehat di Namirah. Di situ, Jibril menunjukkan bukit Arafah kepada Nabi Ibrahim a.s tetapi ketika itu Nabi Ibrahim a.s telahpun mengetahuinya, lalu berkatta: Yang bermaksud: "Aku telah mengetahuinya, oleh itu tempat tersebut dinamakan Arafah."
Apabila matahari tergelincir, Jibril a.s mengiringi mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga sampai di tempat terdapat masjid pada hari ini. Di situ Nabi Ibrahim a.s berdiri menyampaikan beberapa kalimah, manakala Nabi Ismail a.s duduk untuk mendengarnya, kemudian mereka menunaikan sembahyang Zuhur dan Asar secara jamak. Selepas itu Jibril a.s mengangkat mereka berdua ke tempat yang tinggi, lalu mereka berdiri dan berdoa sehinggalah matahari terbenam dan cahayanya hilang. Kemudian mereka berdua bertolak dari Arafah dan apabila tiba di Jam'in, mereka berhenti untuk menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di situ iaitu di tempat orang ramai menunaikan sembahyang pada hari ini. Mereka bermalam di sana sehingga terbit fajar, mereka berdua menunggu sehingga keluar cahaya sebelum terbit matahari lalu meneruskan perjalanan. Apabila tiba di Muhassir, kedua-duanya berjalan dengan cepat sehinggalah berjaya melintasi kawasan tersebut, lalu kembali berjalan sebagaimana sebelumnya. Apabila tiba di kawasan Jamrah, mereka berdua melontar Jamratul Aqabah sebanyak tujuh lontaran dengan batu yang dibawa dari Jam'in. Mereka keluar dari Mina pada waktu pagi ke kawasan sebelah kanan kemudian menyembelih korban di tempat penyembelihan dan bercukur. Setelah itu mereka melontar Jamrah pada hari-hari Mina sehinggalah apabila matahari telah meninggi, mereka berulang-alik secara berjalan kaki. Mereka keluar pada hari Sadr (selesai dari mengerjakan ibadat Haji) lalu menunaikan sembahyang Zuhur di Abtah. Jibril a.s telah menunjukkan cara setiap amalan yang telah dilakukan ini.
0 comments:
Post a Comment