Tuesday, 5 June 2012

HAJI UNTUK ORANG LAIN

Haji Untuk Orang Lain:
Sesiapa yang mempunyai perbelanjaan untuk mengerjakan ibadat Haji tetapi tidak terdaya untuk menunaikannya sendiri, sama ada disebabkan sakit ataupun tua, dia hendaklah menghantar seseorang supaya mengerjakan Haji untuknya berpandukan kepada hadis Al-Fadli bin Abbas: Bahawa seorang perempuan dari Khath'am telah bertanya kepada Rasullullah s.a.w.: "Wahai Rasulullah, Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memfardhukan ibadat haji keatas hambaNya, aku dapati ayahku terlalu tua dan tidak dapat bertahan diatas kenderaan, bolehkah aku mengerjakan haji untuknya?" Baginda s.a.w. menjawab: "Ya."Ini adalah mengikut pendapat Imam Syafie, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah manakala pendapat Imam Malik: Tidak wajib. Fardu Haji tidak gugur ke atas orang sakit yang sembuh selepas penggantinya menunaikan Haji untuknya dan dia diwajibkan mengulangi ibadat Haji. Mengikut pendapat Imam Ahmad fardu tersebut telah gugur apabila dia sembuh dari sakit. Sesiapa yang telah menunaikan Haji nazar sedangkan dia belum menunaikan Haji yang fardu, Haji tersebut akan dikira Haji yang fardu kemudian hendaklah dia menunaikan Haji nazarnya. Sesiapa yang meninggal dunia sebelum menunaikan ibadat Haji, ataupun Haji yang dinazarkan, walinya wajiblah mengupah seseorang untuk menunaikan Haji untuknya daripada harta peninggalannya dan ini merupakan pendapat Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali.
Manakala pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Maliki pula:
Pewaris tidak diwajibkan menunai Haji untuk si mati melainkan apabila si mati telah mewasiatkannya dan hendaklah dia menunaikan Haji untuk si mati (dengan perbelanjaan) satu pertiga daripada harta peninggalannya.
Orang yang ingin menunaikan Haji untuk orang lain disyaratkan:
Telah menunaikan Haji untuk dirinya sendiri sama ada dia berkuasa atau tidak. Ini berpandukan riwayat daripada Ibnu Abbas r.a: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah terdengar seorang lelaki berkata: "Aku telah penuhi seruanMu untuk Syabramah.": Lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Apakah kamu telah mengerjakan haji kamu sendiri?" Dia menjawab: "Tidak". Baginda s a.w. bersabda lagi: "Kerjakanlah haji untuk diri kamu, kemudian kerjakanlah haji untuk Syabramah."

Orang perempuan tidak wajib mengerjakan Haji sehinggalah dia mempunyai suami atau mahram yang boleh menemaninya di dalam perjalanannya berdasarkan kepada hadis Ibnu Abbas r.a katanya: Aku mendengarRasulullah s.a.w bersabda: "Orang perempuan tidak boleh bermusafir melainkan bersama marham." Seorang leleaki telah berdiri lalu berkata: "Wahai Rasulullah, isteriku telah keluar untuk mengerjakan haji sedang aku ditugaskan menyertai peperangan?" Lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Pergilah dan kerjakan haji bersama isteri kamu."

Mengikut pendapat Mazhab Hanafi dan Mazhab Hambali, kedua-duanya meletakkan syarat:
Orang perempuan tidak boleh keluar (untuk mengerjakan Haji) melainkan bersama suami atau mahram.
Mengikut pendapat Mazhab Syafie:
Disyaratkan bersama suami atau mahram atau beberapa orang perempuan yang thiqah (dipercayai) dan ada yang berpendapat cukup hanya dengan seorang perempuan yang thiqah sahaja.
Mengikut pendapat Mazhab Maliki:
Orang perempuan dibolehkan keluar untuk mengerjakan Haji dengan ditemani oleh seorang perempuan yang dipercayai dengan syarat jarak di antara dia dan Mekah adalah perjalanan selama satu hari satu malam dan apabila seorang perempuan menyalahi syarat ini dan mengerjakan Haji tanpa ditemani suami atau mahram, Hajinya dikira sah tetapi dia berdosa.
Meminta Keizinan Suami Untuk Mengerjakan Ibadat Haji:
Suami tidak boleh menegah isterinya dari mengerjakan Haji yang fardu dan Haji yang dinazarkan manakala Haji sunat bolehlah dia menegahnya. Orang perempuan wajib ditemani mahram atas perbelanjaannya manakala mahram atau suami tidak diwajibkan bermusafir bersamanya.

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas, dia dibolehkan mengerjakan semua perkara yang dilakukan oleh orang Haji tetapi tidak boleh melakukan Tawaf di Baitullah, berpandukan kepada hadis Saidatina Aisyah r.a katanya: "Aku tiba di Mekah ketika sedang haid dan aku tidak melakukan Tawaf, sama ada di Baitullah ataupun di antara Safa dan Marwah." Katanya lagi: "Aku telah mengemukakan hal itu kepada Rasulullah s.a.w lalu Baginda s.a.w. bersabda: "Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang Haji tetapi janganlah mengerjakan Tawaf di Baitullah sehingga kamu telah suci."

Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Qudum gugurlah pekerjaan tersebut dan dia tidak dikenakan apa-apa. Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas sebelum mengerjakan Tawaf Ifadhah, dia hendaklah kekal berada di dalam Ihram sehingga telah suci kemudian bolehlah mengerjakan Tawaf. Sekiranya seseorang perempuan mengerjakan Tawaf sedangkan dia didatangi haid, Tawaf tersebut tidak sah mengikut pendapat Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hambali, manakala mengikut pendapat Mazhab Hanafi pula tawaf tersebut sah tetapi makruh yang membawa kepada haram dan dia juga berdosa serta dikenakan Badanah (Dam seekor unta atau lembu). Apabila seseorang perempuan didatangi haid atau nifas selepas Tawaf Ifadah dia tidak perlu lagi mengerjakan Tawaf Wida'.

Kanak-kanak tidak diwajibkan mengerjakan Haji tetapi sekiranya dia mengerjakannya, Haji tersebut dikira sah tetapi tidak mendapat ganjaran Haji yang fardu.

Diriwayatkan bahawa seorang perempuan telah mengangkat seorang kanak-kanak (untuk ditunjukkan) kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata: "Adakah (kanak-kanak) ini boleh mengerjakan haji?" Baginda s.a.w.menjawab: "Ya dan kamu mendapat pahala."
Diriwayatkan daripada Jabir r.a. katanya: "Kami telah mengerjakan haji bersama Rasulullah s.a.w. dan bersama-sama kami juga terdapat wanita dan kanak-kanak, kami telah bertalbiah untuk kanak-kanak kami juga telah melontar untuk mereka."
Apabila kanak-kanak mengerjakan Haji sebelum sampai umur (baligh), dia diwajibkan mengerjakan Haji apabila telah sampai umur dan begitu juga dengan seorang hamba, apabila dia mengerjakan Haji ketika menjadi hamba kemudian dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekiranya dia mempunyai kemampuan untuk mengerjakannya.

Ibnu Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w telah bersabda: "Mana-mana kanak-kanak yang telah mengerjakan Haji kemudian dia telah baligh, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi. Mana-mana hamba yang telah mengerjakan Haji kemudian telah dimerdekakan, wajiblah dia mengerjakan Haji sekali lagi".

Apabila seseorang kanak-kanak telah mumayyiz bolehlah berniat Ihram sendiri dan menunaikan ibadat Haji, jika belum mumayyiz walinya bolehlah berniat Ihram dan bertalbiah untuknya, membawanya melakukan Tawaf dan Saie, Wukuf di Padang Arafah serta melontar Jamrah untuknya. Sekiranya seseorang kanak-kanak sampai umur (baligh) sebelum Wukuf di Padang Arafah atau ketika berada di sana, Hajinya dikira Haji fardu.
Imam Malik berpendapat:
Tidak dikira Haji fardu.
Pendapat Mazhab Hanafi:
Dikira sebagai fardu sekiranya dia memperbaharui niat Ihram selepas baligh.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...