Surah al-Baqarah ( Ayat 197 )

" ( Masa untuk mengerjakan ibadat ) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya ( dengan niat mengerjakan ) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh berbuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan Haji. Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan adalah diketahui oleh Allah: dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah memelihara diri ( dari keaiban meminta sedekah ): dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal ( yang dapat memikir dan memahaminya )".

QS Al-Hajj:27

"Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, niscaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengendarai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh"

Diriwayat oleh Imam Bukhari, Ibnu majah dan lain-lain

Daripada Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud : " Sesiapa yang manunaikan fardhu Haji kerana Allah dengan tidak melakukan persetubuhan dan tidak membuat fasiq ( maksiat kejahatan ) maka bersihlah dirinya daripada dosa seumpama di hari ianya dilahirkan oleh ibunya".

Diriwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: " Didirikan Islam itu di atas lima rukun, iaitu mengucap Kalimah Syahadat ( Ku beri'ktikad, berikrar dan mengaku bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya melainkan Allah jua, dan sesungguhnya Junjungan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah ) dan mendirikan sembahyang lima waktu dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan Haji dengan mengunjungi Baitullahil Haram dan puasa di bulan Ramadhan".

Surah Aali-Imran ( Sebahagian daripada ayat 97 ) yang bermaksud :

" Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu siapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur ( ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu ), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya ( tidak berhajatkan sesuatu pun ) dari sekelian makhluk".

Tuesday, 5 June 2012

KISAH TENTERA BERGAJAH



Abrahah telah membina sebuah gereja di San'a (yang dinamakan al-Qalis) dimana pada masa tersebut tidak terdapat gereja seumpamanya. Abrahah telah menulis surat kepada raja Najasyi yang berbunyi: "Sesungguhnya aku telah membina untuk kamu sebuah gereja yang tidak pernah dibina seumpamanya kepada mana-mana raja sebelum kamu. Aku tidak akan tenang sehinggalah orang-orang Arab datang mengerjakan Haji di sini."



Apabila orang-orang Arab memperkatakan tentang surat Abrahah kepada raja Najasyi, perkara ini menimbulkan kemarahan seorang lelaki dari Kinanah lalu pergi ke al-Qalis dan membuang najis di dalamnya secara sembunyi, kemudian kembali kepada kaum keluarganya. Perkara itu telah disampaikan kepada Abrahah dan telah menimbulkan kemarahannya lalu bersumpah untuk menghancurkan Kaabah. Beliau memerintahkan tentera Habsyah untuk bersiap sedia dan setelah bersedia, Abrahah serta tenteranya terus keluar dengan membawa gajah. Apabila orang-orang Arab mengetahui hasrat Abrahah untuh menghancurkan Kaabah, mereka merasa gerun dan takut. Abrahah mengutus seorang lelaki Habsyah yang bernama Al-Aswad bin Mafsud bersama tentera berkudanya sehingga sampai di Mekah, lalu meminta tebusan daripada kaum Quraisy dan yang lainnya, di antaranya dua ratus ekor unta kepunyaan Abdul Muttalib bin Hasyim (ketua kaum Quraisy pada masa tersebut). Kaum Quraisy, kaum Kinanah, kaum Huzail dan kaum yang tinggal berhampiran dengan Tanah Haram telah berazam untuk memeranginya tetapi setelah menyedari mereka tidak mempunyai kekuatan, mereka membiarkan perkara tersebut begitu saja.

Abrahah juga telah mengutus Hannatah Al-Himyari ke Mekah sambil berpesan kepadanya: "Tanyalah ketua atau pembesar negeri ini, kemudian katakan kepadanya, raja telah berpesan kepadaku bahawa, aku datang bukan untuk memerangi kamu tetapi untuk menghancurkan Kaabah ini, sekiranya mereka tidak menghalangi kami, maka aku tidak akan memerangi kamu, sekiranya dia tidak mahu memerangi aku, bawalah dia kepadaku."

Apabila Hannatah memasuki Mekah, beliau bertanyakan tentang ketua atau pembesar negeri tersebut. Dia telah diberitahu bahawa ketua negeri tersebut ialah Abdul Muttalib bin Hasyim, dia terus menemuinya dan memberitahu apa yang diperintahkan oleh Abrahah. Abdul Muttalib berkata kepadanya: "Demi Allah! Sesungguhnya kami tidak mahu memeranginya, kami tidak mampu untuk melawannya. Ini adalah Baitullah al-Haram dan Baitu Ibrahim Al-Khalil a.s (atau sebagaimana yang diriwayatkan). Sekiranya Dia menghalangnya maka ini adalah rumahNya sekiranya Dia (Allah s.w.t.) membiarkannya, Demi Allah, kami tidak berkuasa mempertahankannya."

Lalu Hannatah berkata kepadanya: "Marilah bersama aku untuk mengadap Abrahah, kerana beliau telah memerintahkan aku untuk membawa kamu kepadanya." Hannatah berangkat bersama Abdul Muttalib dan pengikutnya, apabila sampai di kawasan yang bernama al-Askar, beliau bertanya tentang Zu Nafar iaitu sahabatnya. Apabila masuk menemuinya di dalam penjara, Hannatah bertanya: "Wahai Zu Nafar! Apakah kamu mempunyai suatu perantaraan atau penyelesaian yang dapat menolong kami?" Zu Nafar menjawab: "Apakah ada perantaraan atau penyelesaian daripada seorang lelaki tahanan raja yang menunggu hukuman mati samada siang hari atau malam hari seperti aku ini? Aku tidak mempunyai perantaraan atau penyelesaian untuk menolong apa yang telah berlaku kepada kamu kecuali sahabatku Anis, seorang pengembala gajah. Aku akan mengutusinya dengan memberi pesanan tentang diri kamu dan juga kelebihan yang ada pada kamu. Aku juga akan meminta kepadanya agar meminta keizinan untuk kamu daripada raja supaya kamu dapat mengadap dan berbicara dengan raja tentang apa yang berlaku kapada kamu. Dia akan menjadi perantaraan yang baik dengan raja, sekiranya dia mampu melakukan sedemikian, katakanlah cukuplah bagiku."

Setelah itu Zu Nafar mengutusi Anis dengan katanya: "Abdul Muttalib adalah ketua kaum Quraisy dan pembesar Mekah, dialah yang memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat sama ada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Sesungguhnya raja telah mengambil dua ratus ekor unta miliknya, oleh itu mintalah keizinan dan manfaat untuknya daripada raja sekadar yang kamu mampu." Anis menjawab: "Aku akan melakukannya."
Lalu Anis menyampaikan perkara tersebut kepada Abrahah dengan berkata: "Wahai raja! Ini adalah ketua kaum Quraisy berada di hadapan kamu, dia datang untuk meminta izin kepada kamu, dia juga merupakan pembesar negeri Mekah yang sentiasa memberi makan kepada orang ramai pada semua peringkat sama ada yang tinggal di kawasan wadi atau kawasan perkampungan badwi di bukit-bukit. Aku meminta izin daripada kamu agar dia dapat memberitahu kamu apa yang dihajatinya."

Lalu Abrahah mengizinkannya Abdul Muttalib adalah seorang yang tampan, perkasa dan cantik rupa parasnya. Apabila Abrahah melihatnya dia meraikan dan memuliakannya lalu meminta supaya Abdul Muttalib duduk bersamanya tetapi kaum Habsyah yang berada bersama dengannya tidak suka melihat Abdul Muttalib dijemput oleh raja untuk duduk bersama di atas singgahsana kerajaannya, lalu Abrahah turun dari singgahsananya dan menjemput Abdul Muttalib duduk bersama di sampingnya. kemudian Abrahah berkata kepada penterjemahnya: Katakanlah kepadanya: Apa yang kamu hajati? Lalu penterjemahnya menyampaikan apa yang diperkatakan oleh Abrahah.

Abdul Muttalib berkata: "Hajatku ialah supaya raja dapat memulangkan kembali dua ratus ekor unta yang dirampas daripadaku." Apabila perkara tersebut disampaikan kepada Abrahah, dia berkata kepada penterjemahnya: "Katakan kepadanya, aku merasa amat kagum ketika pertama kali melihat kamu tetapi ia hilang lenyap setelah kamu bercakap kepadaku. Apakah kamu hanya berbicara tentang dua ratus ekor unta yang aku rampas daripada kamu, sedangkan kamu meninggalkan Kaabah yang menjadi pegangan agama kamu dan bapa-bapa kamu. Aku datang untuk menghancurkannya tetapi kamu tidak pula bercakap denganku tentangnya?"

Lalu Abdul Muttalib menjawab: "Aku adalah tuan unta tersebut, manakala Kaabah tersebut ada tuan yang akan melindunginya." Abrahah berkata: "Tidak ada siapa yang dapat menghalang aku untuk menghancurkannya." Abdul Muttalib berkata kepadanya: "Biarlah kamu dengan keadaan kamu." Unta-unta tersebut dipulangkan kembali kepada Abdul Muttalib. Setelah itu Abdul Muttalib pulang kepada kaum Quraisy lalu menceritakan kisah pertemuannya dengan Abrahah dan memerintahkan mereka agar keluar dari Mekah dan berlindung di atas bukit. kemudian Abdul Muttalib mengunci pintu Kaabah dan beberapa orang lagi dari kaum Quraisy bersama dengan Abdul Muttalib berdoa kepada Allah s.w.t. semoga mengalahkan Abrahah dan tenteranya.

Apabila menjelang pagi, Abrahah mula bersedia dengan gajah dan tenteranya untuk memasuki Mekah dimana gajahnya bernama Mahmud. Setelah mereka mengarahkan gajah menuju ke Mekah, mereka telah bertemu dengan Nufail bin Habib. Beliau berdiri di sebelah gajah tersebut kemudian memegang telinganya lalu berkata: "Duduklah Mahmud dan kembalilah semula ke tempat kamu datang, sesungguhnya kamu berada di negeri yang diharamkan oleh Allah s.w.t.."

Kemudian beliau melepaskan telinga gajah tersebut, lalu gajah tersebut terus duduk. Mereka memukul gajah tersebut supaya bangun tetapi ia enggan berbuat demikian. Kemudian mereka mengarahkan gajah tersebut kembali ke Yaman, lalu ia terus bangun dan berjalan ke arah tersebut. Setelah itu mereka mengarahkannya ke Syam, gajah tersebut juga berjalan sebagaimana diarahkan. Mereka mengarahkan pula menuju ke arah Masyrik (timur), lalu gajah tersebut berjalan sebagaimana diarahkan. Setelah itu mereka mengarahkan semula menuju ke arah Mekah tetapi gajah tersebut terus duduk.

Lalu Allah s.w.t. mengutuskan kepada mereka sekumpulan burung seumpama burung layang-layang dimana setiap seekor membawa tiga biji batu, sebiji di paruh dan dua biji lagi di kakinya. Batu tersebut seperti kacang kuda dan kacang dal, sesiapa sahaja yang terkena akan hancur dan binasa. Tidak semua yang binasa di tempat tersebut, mereka telah keluar dari kawasan tersebut tetapi rebah bergelimpangan di setiap jalan lalu mati dalam keadaan yang penuh dahsyat. Abrahah terkena lontaran batu tersebut di badannya, mereka membawanya dalam keadaan jari-jarinya terputus tetapi apabila tiba di San'a, Abrahah meninggal dunia di sana.

IBADAT NABI IBRAHIM A.S.




Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai menyeru orang ramai, Jibril a.s telah mengiringi beliau lalu menunjukkan kepadanya bukit Safa dan Marwah. Jibril a.s juga membawa beliau ke sempadan Tanah Haram, lalu mengarahkannya supaya mendirikan batu di sempadan tersebut, Nabi Ibrahim a.s terus melakukan arahan tersebut.

Beliau merupakan orang pertama yang mendirikan sempadan Tanah Haram dengan ditunjukkan oleh Jibril a.s. Pada hari yang ke 7 Zulhijah Nabi Ibrahim a.s telah berkhutbah sambil berdiri ketika tergelincir matahari manakala Nabi Ismail duduk mendengarnya. Pada keesokan harinya, kedua-duanya keluar secara berjalan kaki sambil bertalbiah dan berpakaian ihram. Masing-masing membawa bekalan makanan dan bertongkat, oleh itu hari tersebut dinamakan hari Tarwiah. Apabila kedua-duanya tiba di Mina, mereka berdua mendirikan sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh. Kedua-duanya berhenti rehat di bahagian sebelah kanan dan tinggal di situ sehingga keluar matahari di atas bukit Thabir. Selepas itu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s bertolak secara berjalan kaki sehinggalah tiba di Arafah, ketika itu Jibril a.s ada bersama mereka. Jibril a.s menunjukkan kepada mereka bukit-bukit di sepanjang perjalanan sehinggalah mereka berhenti rehat di Namirah. Di situ, Jibril menunjukkan bukit Arafah kepada Nabi Ibrahim a.s tetapi ketika itu Nabi Ibrahim a.s telahpun mengetahuinya, lalu berkatta: Yang bermaksud: "Aku telah mengetahuinya, oleh itu tempat tersebut dinamakan Arafah."



Apabila matahari tergelincir, Jibril a.s mengiringi mereka berdua meneruskan perjalanan sehingga sampai di tempat terdapat masjid pada hari ini. Di situ Nabi Ibrahim a.s berdiri menyampaikan beberapa kalimah, manakala Nabi Ismail a.s duduk untuk mendengarnya, kemudian mereka menunaikan sembahyang Zuhur dan Asar secara jamak. Selepas itu Jibril a.s mengangkat mereka berdua ke tempat yang tinggi, lalu mereka berdiri dan berdoa sehinggalah matahari terbenam dan cahayanya hilang. Kemudian mereka berdua bertolak dari Arafah dan apabila tiba di Jam'in, mereka berhenti untuk menunaikan sembahyang Maghrib dan Isyak di situ iaitu di tempat orang ramai menunaikan sembahyang pada hari ini. Mereka bermalam di sana sehingga terbit fajar, mereka berdua menunggu sehingga keluar cahaya sebelum terbit matahari lalu meneruskan perjalanan. Apabila tiba di Muhassir, kedua-duanya berjalan dengan cepat sehinggalah berjaya melintasi kawasan tersebut, lalu kembali berjalan sebagaimana sebelumnya. Apabila tiba di kawasan Jamrah, mereka berdua melontar Jamratul Aqabah sebanyak tujuh lontaran dengan batu yang dibawa dari Jam'in. Mereka keluar dari Mina pada waktu pagi ke kawasan sebelah kanan kemudian menyembelih korban di tempat penyembelihan dan bercukur. Setelah itu mereka melontar Jamrah pada hari-hari Mina sehinggalah apabila matahari telah meninggi, mereka berulang-alik secara berjalan kaki. Mereka keluar pada hari Sadr (selesai dari mengerjakan ibadat Haji) lalu menunaikan sembahyang Zuhur di Abtah. Jibril a.s telah menunjukkan cara setiap amalan yang telah dilakukan ini.

SERUAN UNTUK MENUNAIKAN HAJI





Setelah Nabi Ibrahim a.s selesai membina Kaabah, Allah s.w.t memerintahkannya supaya menyeru umat manusia untuk mengerjakan Haji, sebagaimana firman Allah s.w.t"Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke rumah Tuhanmu dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan dan ceruk rantau yang jauh." 

Nabi Ibrahim al-Khalil berkata: "Wahai Tuhan! Apakah yang akan menyampaikan suaraku?" Lalu Allah Yang Maha Agung menjawab: "Serulah, Aku yang akan menyampaikannya." Lalu Nabi Ibrahim a.s menaiki bukit Abu Qubis, lantas memasukkan jari ke dalam kedua belah telinganya sambil menghadap ke arah timur dan barat sambil menyeru: "Wahai sekalian manusia! Diwajibkan ke atas kamu untuk menunaikan ibadat Haji di Baitul Atiq, oleh itu sahutlah seruan Tuhan kamu Yang Maha Agung". Seruan tersebut telah didengari oleh setiap orang yang berada di dalam salbi kaum lelaki dan setiap yang berada di dalam rahim-rahim perempuan. Seruan tersebut juga telah disahut oleh setiap orang yang berada dalam pengetahuan Allah s.w.t bahawa dia akan menunaikan ibadat Haji, sehinggalah ke hari Kiamat. Mereka semua berkata: Yang bermaksud: "Telah aku penuhi seruanMu wahai Tuhanku, telah aku penuhi seruanMu."

MENINGGIKAN ASAS (TAPAK)



1.Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s telah pergi ke Mekah untuk menunaikan perintah Allah s.w.t supaya membina Baitullah (Kaabah). Beliau berkata kepada anaknya Ismail a.s: "Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memerintahkan aku dengan satu perkara" Lalu Nabi Ismail a.s berkata: "Lakukanlah apa yang telah diperintahkan Allah s.w.t. kepada kamu" Nabi Ibrahim a.s bertanya: "Adakah kamu akan menolongku?" Nabi Ismail a.s menjawab: "Aku akan menolongmu" Lalu beliau berkata: "Sesungguhnya Allah s.w.t. memerintahkan aku supaya membina sebuah rumah (Kaabah) di sana, sambil mengisyaratkan ke arah timbunan tanah yang lebih tinggi dari kawasan sekitarnya." Mereka berdua mendirikan tapak asas Baitullah di kawasan tersebut, dimana Nabi Ismail a.s mengangkut ketulan-ketulan batu manakala Nabi Ibrahim a.s membinanya. Apabila binaan tersebut telah tinggi, Nabi Ismail a.s membawa sebuah batu dan meletakkannya di samping Nabi Ibrahim a.s. Beliau berdiri di atas batu tersebut semasa meneruskan pembinaan manakala Nabi Ismail a.s menghulurkan ketulan batu, di samping itu mereka berdoa sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami) sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan jadikanlah daripada keturunan kami umat Islam (yang berserah diri) kepadaMu dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami dan terimalah taubat kami sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. Wahai Tuhan kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firmanMu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa mereka) dari (syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." 
Sehinggalah Allah s.w.t. menyempurnakan pembinaan Baitullah (Kaabah) tersebut kepada mereka berdua.
2.Tidak terdapat riwayat sahih yang menyatakan Baitullah telahpun dibina sebelum Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s. Sesiapa yang berpegang kepada firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Baitullah (untuk membinanya), ataupun Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu."Maksud yang dikehendaki pada ayat-ayat tersebut ialah tempat pembinaan Kaabah tersebut telahpun tetap dalam pengetahuan Allah s.w.t. semenjak menciptakan langit dan bumi. Ini menunjukkan tempat pembinaan Kaabah itu telahpun dimaklumi, manakala pembinaan Baitullah pula telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim Al-Khalil dan anaknya Nabi Ismail a.s. Khabar-khabar yang menyatakan Baitullah telah dibina sebelum Nabi Ibrahim a.s adalah diriwayatkan daripada Bani Israil, kita tidak boleh membenarkannya dan mendustakannya, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Maha Mengetahui.

3.Ketika Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s membina Kaabah tersebut beliau menjadikan:
*Tingginya sembilan hasta.
*Panjang di paras bumi dari Hajarulaswad hingga ke penjuru sebelah Syam adalah sepanjang 32 hasta.
*Lebar di sebelah bahagian saluran air bermula dari penjuru Syam hingga ke penjuru sebelah barat adalah seluas 22 hasta.
*Panjang di paras bumi bermula dari penjuru sebelah barat hingga ke penjuru sebelah Yaman adalah sepanjang 31 hasta
*Lebar di paras bumi bermula dari penjuru sebelah Yaman hingga ke Hajarulaswad adalah seluas 20 hasta


Baginda membina pintu rapat ke bumi dan tidak ditinggikan atau dibuat pintu secara sempurna sehinggalah Tubba' Al-Humairi telah membina sebuah pintu dan meninggikannya. Bentuk binaan Kaabah yang dibina oleh Nabi Ibrahim a.s adalah satu binaan sempurna yang mempunyai dua penjuru iaitu dua penjuru Yamani manakala bentuk Hijir pula, beliau tidak membinanya dalam bentuk berpenjuru bahkan dalam bentuk separuh bulat sebagaimana bentuk Hijir yang terdapat pada masa sekarang ini. Ada pendapat yang mengatakan umur Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah tersebut ialah 100 tahun, hanya Allah s.w.t. sahaja Yang Amat Mengetahui.

KISAH PENYEMBELIHAN NABI ALLAH IBRAHIM



1-Setelah Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s berpindah dari negeri kaumnya, beliau memohon kepada Allah s.w.t supaya dikurniakan seorang anak yang soleh, lalu Allah s.w.t mengembirakannya dengan mengurniakan seorang anak yang cantik iaitu Nabi Ismail a.s yang dilahirkan ketika Nabi Ibrahim a.s berumur 86 tahun. Setelah Nabi Ismail a.s meningkat dewasa, Nabi Ibrahim a.s telah bermimpi menyembelih anaknya, dimana telah ditetapkan bahawa mimpi para Nabi adalah Wahyu. Ini merupakan ujian yang besar daripada Allah s.w.t terhadap Nabi Ibrahim a.s sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu." Lalu Nabi Ismail a.s menjawab sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai ayahku! Jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya Allah engkau akan mendapati aku dari kalangan orang-orang yang sabar. Dikatakan kedua-duanya telah berserah diri sebagaimana firman Allah s.w.t:Yang bermaksud: "Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah s.w.t. itu) dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (Kami sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah kami). Setelah kedua-duanya berserah diri untuk menjalankan perintah Allahs.w.t. dan berazam dengan bersungguh-sungguh, Allah s.w.t telah menyeru dan memberikan khabar yang mengembirakan melalui Malaikat. Sebagaimana firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu, demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan, sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian, salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim, demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha melakukan kebaikan, sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.


Setelah tercapai maksud ujian terhadap Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Ismail a.s serta mereka berdua bersegera untuk menunaikan perintah Allah s.w.t lalu Allah Taala mengantikan dengan seekor kibas putih yang mempunyai mata dan tanduk yang sempurna sebagai tebusan daripada menyembelih anaknya. Nabi Ibrahim a.s mendapati kibas tersebut terikat di sebatang pokok berhampiran bukit Thabir lalu menyembelihnya di Mina. Tempat ini telah dijadikan sebagai tempat mengerjakan ibadat Haji dan sunat berkorban bersempena dari peristiwa Nabi Ibrahim Al-Khalil a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s serta berterusan sehingga kepada nabi kita Nabi Muhammad s.a.w

KORBAN



Definisinya:
Menyembelih unta, lembu atau kambing untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.

Waktu Penyembelihan Korban:Waktu penyembelihan bermula selepas sembahyang pada Hari Raya Haji sehingga berakhir Hari-hari Tasyrik (11, 12 dan 13 Zulhijah).

Hukumnya:Sunat Muakkad, berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Amalan anak Adam pada Hari Raya Haji yang sangat disukai Allah s.w.t. ialah penyebelihan korban, sesungguhnya ia akan datang pada Hari Kiamat dengan tanduknya, kukunya dan bulu-bulunya, sesungguhnya Allah s.w.t. akan menerima penyembelihan korban tersebut sebelum darahnya tumpah kebumi, maka hendaklah kamu ikhlaskan diri kamu semasa kamu melakukan penyembelihan korban tersebut."

Ia disyariatkan pada tahun kedua Hijrah: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menyembelih korban dua ekor kabasy yang berwarna antara putih dan hitam serta mempunyai dua tanduk, kedua-duanya disembelih oleh Baginda s.a.w.dengan tanganya. Baginda s.a.w. mengucapkan Basmalah dan bertakbir serta meletakkan kaki dibahagian tepi rusuk kibasy tersebut.

Jenis-jenisnya:Unta yang berumur lima tahun, lembu yang berumur dua tahun atau kambing yang berumur enam bulan. Adapun unta dan lembu hanya perlu diambil satu bahagian sahaja dari tujuh bahagian.
Pembahagiannya:Disyarakkan kepada orang yang berkorban memakan satu pertiga daripada daging tersebut, satu pertiga dihadiahkan dan satu pertiga lagi disedekahkan. Dia diharuskan memakan lebih dari satu pertiga daripada daging korban tetapi sekiranya dia memakan kesemua daging tersebut dan dia hanya ingin menyedekahkan harga bagi sedikit daging korban sahaja, dia bolehlah berbuat demikian.

Penyembelihannya:
Disunatkan supaya bertakbir kepada Allah s.w.t selepas mengucapkan Basmalah dan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w kemudian berkata: Yang bermaksud: "Wahai Tuhanku! Engkaulah yang menciptakan aku dan kepadaMu aku akan kembali, oleh itu terimalah korban daripadaku."

DAM IHSAR



Definisinya:
Binatang ternakan (berkaki empat) yang dikorbankan di Baitullah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.
Dalilnya: 
Firman Allah s.w.t: Yang bermaksud: "Maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati." 
Hukumnya:Wajib kepada mereka yang terhalang dari bertahallul sebelum sempat menyempurnakan ibadat Haji.
Tempat Penyembelihan:Di tempat berlaku sebab-sebab yang menghalangnya.

Jenis-jenisnya:
Satu pertujuh dari unta atau lembu atau seekor kambing.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...